Tuesday, June 26, 2012

simbol pakaian~

baiklah, sejak kebelakangan ni aku rase esemen ak menarik dan harus dikongsikan bersama. (mke bangga). kajian kali ini yang aku buat bertajuk simbolik pakaian Melayu (teori antropologi simbolik), sila2 lah baca utk menambah pengetahuan anda dan menerapkan kebudayaan Melayu dalam diri dan keluarga. Jgn lupa sampaikan kat anak cucu nanti ye.. :)



TEORI ANTROPOLOGI SIMBOLIK
 Antropogi simbolik adalah teori yang mengkaji tentang simbol dan lambang dalam konteks sosial atau masyarakat.Teori ini muncul pada tahun 1960-an dan masih berpengaruh sehingga ke hari ini sebagai wadah untuk mengkaji budaya sesebuah masyarakat.
Simbol atau lambang-lambang memang banyak digunakan dalam pelbagai adat, bahasa dan budaya yang dikongsi bersama oleh masyarakat sejagat. Pendokong teori ini menyatakan bahasa simbol atau lambang merupakan wahana budaya, bermaksud simbol itu mempunyai makna dan kepentingan dalam budaya sesuatu masyarakat.
Kadangkala persimbolan yang sama membawa maksud yang berbeza dengan masyrakat yang berbeza dan ada pula simbol yang dianggap sebagai suatu simbol yang dapat diketahui maknanya secara universal dan buka spesifik kepada sesebuah masyarakat. Ia dianggap sebagai pinjaman unsur sesebuat masyarakat yang lain tetapi boleh diterima pakai dalam masyarakat sendiri.
Untuk mengkaji sesuatu budaya melalui teori ini, para antropologi memberi tafsiran terhadap lambang-lambang tersebut menggunakan pendekatan emik iaitu pendekatan dari kaca penduduk atau dalam konteks budaya yang dikaji.
Teori ini menganggap bahawa budaya tidak wujud di luar lingkungan individu malah budaya itu berkisar pada interpretasi individu terhadap kejadian dan perkara yang berlaku dan wujud di sekeliling.
                                                          
SIMBOLIK PAKAIAN CARA MELAYU
Menurut Geerts, simbol ialah model kepada kenyataan. Ia memberi penererangan dan bimbingan tentang bagaimana menyatukan kenyataan. Makna dibahagikan kepada tiga kategori iaitu unsur dasar, unsur konvensional dan makna intrinsik. Makna pertama merujuk kepada fakta dan ekspresional seperti warna, makna konvensional dilihat melalui imej dan gubahannya dan makna intrinstik merujuk kepada makna simbolik.
Simbolik merujuk kepada bentuk, lambang, imej, cerita, alegori dan motif. Inilah unsur-unsur asas yang berfungsi sebagai perkataan yang bermaksud figurasi dengan berbagai-bagai makna (Ismail 1980,20). Di samping sebagai maksud literal atau utama yang menyaran fungsi gunaan (Hodder),yang membawa makna dasar semulajadi kepada gambaran atau motif. Ini merujuk bahawa simbolik itu merupakan sudut pandangan kedua yang tidak dapat dilihat tetapi hanya difahami.
Makna yang ingin diketengahkan ialah makna intrinsik. Makna ini dalam pakaian Melayu memperlihatakan simbol kebesaran bangsa, kekuasaan, pangkat, status-darjat, agama dan falsafah. Contohnya, antara orang kaya dengan miskin, beza antara rakyat biasa dan raja, beza antara yang dara dan janda. Kesemuanya dapat diketahui melalui cara pemakaian dan pakaian tradisional Melayu memang tidak lari dari symbol-simbol ini.


SIMBOLIK KAIN
Kain berfungsi sebagai sarung. Namun begitu, apabila ia digayakan, kain tersebut telah mempunyai makna tersendiri.:
           
      KAIN BATIK
Kepala kain batik dalam masyarakat melayu menggambarkan status seseorang, sama ada anak dara, sudah berkahwin mahu pun seorang janda. Kepala kain yang diletakkan di bahagian hadapan bermaksud pemakai masih anak dara, kepala kain yang diletakkan di bahagian belakang membawa maksud pemakainya sudah berkahwin dan wanita yang meletakkan kepala kain di sisi, sama ada kiri atau kanan membawa maksud pemakai adalah berstatus janda.

·         KAIN SONGKET
Kain songket satu ketika dahulu dipakai dalam upacara tertentu seperti keagamaan, perkahwinan dan beberapa adat lain yang menunjukkan kain sonngket tidak boleh dipakai sembarangan. Kain songket juga membezakan status seperti pegawai kerajaan, golongan bangsawan dan rakyat biasa. Motif-motif yang digunakan juga menjadi perlambangan kebesaran dan keagungan.





SIMBOLIK IKAT KEPALA
Ikat kepala dikenali juga dengan nama bulang hulu, setangan kepala, tanjak, semutar dan destar. Ikat kepala ini bukan hanya sebagai hiasan tetapi juga mempunyai nilai simbolik dengan makna yang tersendiri. Ia menjadi pakaian budaya yang penting contohnya dalam adat intiadat penganugerahan.
Dalam konteks budaya tradisi, orang biasa dilarang bertengkolok dan berbaju sarung kecuali setelah dianugerahkan oleh raja. Destar, tanjak atau tengkolok merupakan simbol budaya yang melambangkan masyarakat yang berlembaga, ada keturunan bermaruah dan dipakai ditempat dan pada masa yang sesuai dengan bentuk dan gayanya. Tengkolok juga merupakan sesuatu yang sama tarafnya dengan mahkota yang merupakan simbol kebesaran kerajaan masa lampau. Semua rakyat jelata bertengkolok apabila kurnia itu diterima daripada raja.
            Bentuk ikatan, jenis kain dan motif hias seperti bunga dikarang gajah menggulung, bunga cina tiga warna berkunci bunga dikarang dan teluk rantau berdestar pelangi dikaitkan dengan semangat (ritual). Bentuk dan gaya memberikan kekuatan kepada pemakainya. Hal ini dikatakan dalam teks sastera. Ikatan “dendam tak sudah” diperikan sebagai simbol tengkolok DYMM Seri Paduka Baginda Yang dipertuan Agong hari ini dan ia mula dipakai sejak Tuanku Abd. Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhamad ketika ditabakan sebagai raja yang pertama. Menurut Kajian Mubin Sheppard, hala pucuk kanan dan hujung simpul di atas telinga kiri khusus untuk kerabat diraja atau mereka yang telah diberikan anugerah gelaran seperti Bendahara (Menteri Besar). Setiap ikatan dikekalkan dengan jawatan mereka seperti ikat bendahara, ikat temenggung, ikat laksamana, ikat syahbandar, ikat Datuk Setia dan ikat anak orang baik-baik. Pucuk di kiri dan simpul di telinga kanan ialah untuk orang kebanyakan dan simpul di belakang adalah simbol kepahlawanan. Simbolik pemakaian tengkolok juga dapat diketahui melalui bahan dan reka corak kain iaitu warna dan motif hiasnya.             
SIMBOLIK IKAT PINGGANG
Fungsi utama ikatan dipinggang adalah untuk mengemaskini ikatan kain, mengetatkan bahagian pinggang dan kain pembebat perut. Namum begitu, golongan tradisi agung menggunakan ikat pinggang sebagai simbol “pakaian kerajaan” yang digunakan dalam upacara penganugerahan kepada bendahara.
Penggunaan kain cindai sebagai pengikat pinggang mempunyai simbol ritual yang mempunyai makna seperti kesaktian, dan memberi perlindunagn kepada pemakainya. Perubahan warna kain cindai yang membawa unsure alam juga turut memberi makna khusus iaitu perubahan cuaca. Ikat pinggang juga melambangkan kehebatan status raja atau pembesarnya seperti penggunaan benang emas atau kesaktian yang dapat dilihat melalui motif yang digunakan seperti tulisan khat, ayat Al-Quran dan doa-doa besar. Jika ikat pinggang bersuji air emas adalah yang dikurniakan raja kepada pembesar.
Ikat pinggang juga berkait dengan pending yang mencerminkan kemewahan dan kebesaran. Kelangsungan simbolisme dapat dilihat pada pakaian rasmi DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang menggunakan hiasan batu permata dan bahan baldu bertekat benang emas dengan hiasan motif organik sebagai ikat pinggang.

SIMBOLIK SEBAI/ SELEMPANG/ SELENDANG
Sebai, selempang dan selendang menunjukkan pelbagai fungsi dalam masyarakat melayu. Contohnya, selendang digunakan untuk menutup kepala manakala sebai dipakai di leher dan juga bahu. Ia merupakan sebahagian daripada pakaian Melayu yang mempunyai makna simbolik.
Walaupun fungsi dan bentuknya hampir sama, iaitu kain kecil yang berbentuk memanjang tetapi jenis dan bahan buataanta membezakan status si pemakai sehingga kan ia menjadi simbol dalam istana. Bukan itu sahaja, fungsinya juga berbeza. Umumnya, selendang adalah pakaian untuk wanita manakala seludang untuk lelaki. Seludang dipakai menyilang di bahu mengarah ke sisi kiri atau kanan pinggang. Tetampan pula di pakai oleh bentara adat atau “anak raja-raja yang tua” dan wali untuk wali dan atau dayang istana. Tetampan yang di pakai terdapat dalam pelbagai warna yang melambangkan jawatan yang berbeza. Contohnya, tetampan kuning yang bertabir emas sampai ke tanagn dan berkida-kida sipakai oleh orang ynag membawa congan. Tetampan kuning yang berkida-kida tidak bertabur di tepi dipakai oleh gembala usungaan dan gembala lembing jabang. Manakala tetampan hijau bertepi tabor atau tekat dipakai oleh Kepala Bugis (tekat penuh). Hijau dianggao lebih rendah statusnya daripada simbol kerajaan iaitu kuning.



SIMBOLIK REKA CORAK
·         WARNA
Warna merupakan sesuatu yang sangat memberi makna tersendiri apabilla dilihat dari sudut hubungan masyarakat dan budaya. Warna merupakan penjelasan mengenai kelas dan status sebagai bentuk komunikasi tanpa lisan. Levy-Bruhl yang mengkaji tentang pemikiran primitive menyatakan bahawa simbol warna ialah fenomena yang wujud sekian lama yang berlangsung sebagai sesuatu yang sangat berpengaruh dengan upacara dan amalan mitos. Warna dalam karya primitif diperlukan sebagai sebagai kepentingan simbolik.
Dalam pakaian Melayu, seperti yang diketahui, warna utama “pakaian kerajaan” ialah kuning atau emas. Tradisi ini berlangsung sejak zaman pemerintahan Sultan Mahmud. Sultan Mahmud melarang warna kekuningan di pakai oleh orang kebanyakan. Adat ini juga merupaka adat tradisi Hindu-Budhha.
Beberapa jenis warna yang simbolik dapat dilihat melalui “persalinan persembahan” dalam upacara seperti tamat berkaul di Istana Perak. Dalam upacara tersebut seperti yang diceritakan dalam teks Melayu, terdapat tujuh warna asas yang digunakan termasuklah warna payung yang melambangkan kebesaran.
Simbol warna hitam adalah berbeza dengan warna putih dan kuning. Warna hitam adalah lambang semangat pahlwan dan digunakan untuk baju perang. Simbol ini dapat dilihat daripada pakaian perkahwinan putera Bugis-Riau . dalam upacara bersiram tabal cara Melayu-Riau,  telah disyaratkan untuk para wanita memakai baju serba hitam dan tiada seorang yang boleh memakai baju berwarna lain mahu pun memakai baju yang bercorak.
Warna kain juga berubah mengikut perubahan cuaca. Cahaya juga diperikan dalam pelbagai keadaan seperti embun, lembayung dan minyak. Citra alam ini dijadikan bahan untuk mengindahkan kain di samping mengetengahkan simbol budaya.  Apabila warna-warna ini dipakai, ia umpama perubahan waktu dalam kehidupan. Sebagai contoh, embun berwarna gelap (subuh), lembayung berwarna merah keungguan (siang) dan minyak berwarna emas (senja). Ia membawa kesegaran sepanjang hayat.
Begitu juga istilah kain pelangi yang berdasarkan kepada kecerahan warna atau kain telepuk dengan bahan yang berwarna emas yang sesuai dalam tradisi agung. Ia juga simbol kebesaran yang dipakai oleh orang-orang besar atau pengantin.
·         MOTIF
Motif Pucuk Rebung
Motif tumbuhan yang utama ialah pucuk rebung yang biasa terletak di bahagian kepala kain atau kaki kain. Pucuk rebung mempunyai makna yang estetik dan simbolik dalam masyarakat Melayu, imej gunungan pula sering dikaitkan dengan motif pucuk rebung.
Motif ini juga terlihat dalam reka bentuk jenis tengkolok yang dapat dibezakan status pemakai melalui berapa lipatan atau arah pucuk tersebut.  Bentuk pucuk rebung atau tiga segi dalam ikatan kepala melambangkan simbol kuasa atau anugerah daripada raja.
Motif pucuk rebung yang digunakan pada kain songket melambangkan harapan baik kerana ia merupakan pohon yang teguh dan tidak mudah patah ketika angin kencang. Ini bermaksud si pemakai perlulah ada sikap beruntung dan kuat dalam menjalani kehidupan.
Motif Bunga
Motif bunga disusun dalam tekstil pakaian Melayu seperti cindai, songket penuh, teluk berantai atau jong sarat yang hanya boleh dipakai oleh raja. Simbol keagungan raja dibezakan melalui corak atau pun susunan bunga . Namun begitu, ia juga bergantung kepada keinginan raja.
Jika dilihat motif bunga yang terdapat pada kain seperti kain songket, motif bunga mawar. Melambangkan penawar kepada malapetaka dan dipakaikan kepada bayi sebagai harapan kehidupan si anak yang sentiasa dilindungi Tuhan.
Motif bunga tanjung melambangkan sifat ramah tamah. Ia sering dipakai ketika rumah didatangi tamu.
Bunga Melati pula melambangkan kesucian, keagungan dan sopan santun. Kain songket yang yang bermotif bunga melati ini biasa dipakai oleh gadis yang berlum berkahwin.
Motif Seni Khat
Antara kalimah yang selalu digunakan ialah Allah, Bismillah, Muhammad s.a.w dan sering diletakkan di tengkolok, ikat pinggang dan kain penutup jenazah. Baju raja yang berhias ayat Malbus al-afiah bermaksud “pemakainya selalu berada dalam keadaan sihat walafiat.”

PENUTUP
            Kehidupan masyarakat melayu mengandungi budaya-budaya yang sebenarnya amat membawa makna simbolik dalam apa jua yang diamalkan sama ada adat resam, upacara, cara berpakaian dan sebagainya. Ada juga makna simbolik yang tersirat atas gabungan dua perkara seperti upacara dan pakaian. Contohnya dalam adat pertabalan, perkahwinan dan adat melenggang perut.
            Dalam adat melenggang perut, apa yang menarik ialah penggunaan tujuh helai kain dengan jenis yang berbeza seperti kain batik, serasah, cempa dan sebagainaya dengan warna kuning dan putih. Hal ini bertujuan untuk memudahkan ketika proses kelahiran bayi. Tujuh sebagai angka bilangan kerap yang dikaitkan dengan unsur alam seperti tujuh petala langit, dan tujuh petala bumi. Upacara ini diamalkan oleh golongan tradisi agung (great tradition).
            Namun begitu, makna-makna ini sudah tidak banyak lagi didedahkan sebagai satu informasi yang perlu diketahui oleh generasi masa kini. Hal ini perlu dititik beratkan oleh semua pihak agar tidak membiarkan adat kita ditinggalkan dan adat luar diagung-agungkan bak kata pepatah “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.”
            Kesimpulannya, masyarakat Melayu satu ketika dahulu amat berpandangan jauh dan mengisi sesebuah adat itu penuh dengan sebab dan munasabab dan bukan hanya makna dasar yang hanya dapat dilihat oleh mata kasar. Jika makna tersebut dirungkai satu persatu, nescaya  seri dalam budaya kita akan tampak lebih indah. Dengan itu, adalah tugas kita sebagai generasi sekarang untuk mengekalkan tradisi ini.

BIBLIOGRAFI
1.    Siti Zainon Ismail .(2006). Pakaian Cara Melayu.   Universiti Kebangsaan Malaysia:

Bangi, Selangor.

2.    Siti Zainon Ismail.(1991). "konsep Pakaian Cara Melayu: Satu Kajian Analisis

Budaya Benda” (published master thesis). University of Malaya:Kuala Lumpur



No comments:

Post a Comment